Khamis, 24 Mac 2011

Jawatankuasa Fatwa kali ke 5/98 telah bersidang dan memutuskan hukum meracun rumput di kawasan tanah perkuburan adalah TIDAK HARUS. Ini adalah untuk mengelakkan daripada rumput-rumput tersebut mati dan memberi kesan sampingan kepada alam sekitar dan makhluk lain.
Keputusan ini dibuat berdasarkan dalil yang yang di ambil dari kitab al-Fiqh al-Islami Wa'adillatuh tulisan Dr. Wahbah al-Zuhaily :
Menurut pendapat ulama Syafie, tidak menjadi kesalahan menaruh bau-bauan pada kubur, dan ulama Syafie, Hanbali dan Hanafi berpendapat bahawa sunat disiram air ke atas kubur dan sunat dipacak pelepah yang masih hijau dan tumbuh-tumbuhan yang wangi dan sebagainya yang masih basah di atas kubur untuk memelihara tanahnya daripada runtuh atau hilang dan sesiapa pun tidak boleh mengambilnya dari kubur itu sebelum kering, kerana tuan kubur itu tidak meninggalnya kecuali setelah kering kerana manfaat hanya terdapat semasa basah iaitu istighfar.
Dalil mereka yang mengatakan sunat disiram air ke atas kubur ialah Hadith yang berbunyi :
"Bahawasanya Nabi s.a.w menyiram ke atas kubur anaknya Ibrahim dan menaruh batu-batu kecil di atasnya."
Begitu juga pendapat ulama Hanafi bahawasanya makruh memotong tumbuh-tumbuhan yang masih basah dan rumput yang terdapat di atas kubur, kecuali yang kering, kerana selama ia basah ia bertasbih, dengan itu menyenangkan mayat dan diturunkan rahmat dengan sebab zikirnya. Sunat dipacakkan pelepah dan pohon As dan sebagainya di atas kubur. Dalil lain ialah apa yang terkandung di dalam Hadith Sahih mengenai Nabi s.a.w memacakkan pelepah yang masih hijau setelah dibelah dua ke atas kubur yang diazab, dan alasan (pengalas). Wallahua'lam.
Sumber : Bahagian Pengurusan Fatwa JAKIM

Tiada ulasan: